بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Bismillahirrahmanirrahim.
Salam wbt smua :) mungkin ni posting yg terakhir b4 masuk U. Masuk U 28/12, jd byk bende nk dibuat. B4 tu, ana nk kongsi kisah tauladan utk smua pengunjung setia blog ana yg dhoif ni. Hayati bersama & Salam Awal Muharam
Kisah berlaku di sebuah negeri yang permai bernama Pura Gaharu.
Adapun sang raja sedang menikmati santapan beradab dengan diiringi oleh Bendahara selaku Perdana Menteri dan Tuan Muallim selaku guru agama di istana. Ketika baginda menghirup manisan istimewa hantaran sebuah negeri naungan, setitis daripadanya terjatuh ke atas lantai. Tuan Muallim dengan segera menarik ekor serbannya yang panjang lalu tunduk untuk mengelap titis manisan itu tetapi geraknya terhenti dengan kata-kata Bendahara.
“Tuan Muallim, biarkan saja.”
Tuan Muallim memandang wajah Bendahara dan kemudiannya beralih ke wajah raja meminta kepastian.
“Benar Tuan Muallim. Apa diberatkan sangat perkara sekecil itu? Biarkan saja,” titah baginda.
“Ampun Tuanku. Patik ‘melihat’ dalam titisan itu ada kemusnahan, pertumpahan darah, penderitaan dan mala petaka yang besar,” Tuan Muallim menjelaskan sebab-musabab perlakuannya. Maklumlah, hamba Allah itu melihat yang banyak dalam yang satu.
“Huh, Tuan Muallim ini tuanku, tidak sudah-sudahnya dengan fahamannya. Tidak ada dalilnya hal-hal seperti itu,” bantah Bendahara.
Sebenarnya baginda hormat lagi segan serta berkeyakinan tinggi dengan Tuan Muallim, tetapi pemahaman kebiasaan manusia menyebelahi Bendahara kali ini.
“ Tuan Muallim.. biarkan saja. Tidak akan tercemar keindahan istana, tidak akan bergegar kerajaan beta yang berdaulat ini dengan setitis cairan. Mana mungkin runtuh gunung dengan hembusan seruling, manakan kering lautan dengan nyalaan sebatang obor? Tak begitu Tuan Muallim?,” titah raja titah perintah walaupun bahasanya lembut bermadah. Jangan sembarangan menyanggah perintah, nanti murka datang melimpah-limpah.
Tuan Muallim menarik balik ekor serbannya. Badannya diluruskan. Wajahnya mengukir senyum berisi ketenangan.
“Ampun tuanku. Sekiranya boleh patik menjelaskan lagi...”
“Sudahlah Tuan Muallim, beta sedang santap. Beta tidak mahu hal yang remeh sebegini menutup selera beta. Istana beta ini apa kurangnya? Para pekerjanya puluhan orang. Selepas ini nanti segala kotoran akan mereka hilangkan. Beta tidak mahu dengar apa-apa lagi,” raja mematikan bicara Tuan Muallim.
“Ampun tuanku,” sahut Tuan Muallim sebagai penutup dan untuk meredakan suasana.
Setelah beberapa lama, tamatlah sesi santap Raja. Maka baginda pun beredar ke kamarnya untuk membuat persiapan menunaikan solat fardhu Zohor.
Kembali kita kepada manisan setitik tadi. Dengan kuasa Allah SWT, melintaslah seekor semut. Terhidulah oleh si semut sedap lazat bau haruman manisan setitis. Dengan terlari-lari dan tertonggek-tonggek si semut menuju ke arah manisan setitis. Dikecapnya sedikit, tidak terkata lazatnya beserta dengan lemak manisnya. Seandainya ibu mertua si semut lalu di belakangnya pun, tiadalah ia hiraukan lagu. Setelah puas meng’gula’, maka terfikirlah oleh si semut untuk memanggil teman-temannya agar boleh sama-sama dinikmati kurniaan Tuhan itu.
Tanpa disedari oleh si semut, rupa-rupanya adalah seekor cicak besar yang sedang mengintip pergerakannya. Tiadalah si semut terperasan akan duduk cicak besar kerana bijaknya Allah SWT menciptakan tubuh badan cicak besar yang boleh meniru warna alam sekelilingnya jua. Lalu dengan merangkak cicaknya maka ia pun menerpa terkodek-kodek ke arah mangsanya si semut. Maka sepantas kilat pulalah jeliran lidahnya menangkap si semut. Mmm...nyam nyam.
Belum pun sempat cicak besar menelan si semut, menerpa pula si harimau rumah yang lumrahnya disebut orang sebagai al kucing. Al kucing istana mainan Puteri Jambak Nanas yang kerjanya pada siang hari tiada lain bermalas-malas di atas permaidani Parsi rupa-rupanya dikejutkan oleh kodekan cicak besar sewaktu cicak besar menerpa ke arah si semut.
Cicak besar terkejut cicak lalu cuba melarikan diri dengan memanjat benteng beranda. Al kucing pula mengejar dari belakang lalu terus melompat ke atas tembok beranda, betul-betul di atas belakang cicak besar. Cicak besar memutuskan ekornya. Al kucing terperanjat melihatkan ekor yang tergedik-gedik lalu cuba menangkap kedua-duanya. Cicak besar menggelepar, al kucing hilang imbangan lalu kedua-duanya tergelicir dan jatuh ke luar tembok istana. Adalah lebih kurang setinggi pokok nyior dara jatuh mereka.
Dengan kuasa Tuhan sarwa alam, jatuh mereka betul-betul di atas kepala Jenab Jambu. Apalagi, melatahlah janda berhias beranak satu itu. Raga berisi ikan dan sayurnya terpelanting lalu terjelepuk sebahagian isinya ke muka Nyonya Bunga. Nyonya Bunga yang terkenal dengan mulut halilintarnya terus menyumpah seranah Jenab Jambu.
Jenab Jambu bukan sebarangan perempuan. Tidakkah benjol dan lebam selalu bekas suaminya dulu dek penangannya. Diterpanya Nyonya Bunga lalu bergumpallah keduanya. Juak-juak Nyonya Bunga berpusu-pusu datang, begitu juga dengan handai taulan Jenab Jambu. Masing-masing dengan semangat panas membara adanya.
Raja yang mendengar kecoh-kecoh di luar kota menjengukkan kepalanya ke jendela untuk melihat. Setelah diamat-amati ternyata semakin besar jadi kecohnya, diperintahkan baginda Bendahara menghantar sepasukan lasykar kerajaan.
Lasykar kerajaan seramai empat puluh orang itu tiba dan melihat orang-orang itu sedang bertujah-tujahan telunjuk dan bertolak-tolakan bahu. Minta dilerai tiadalah mahu mereka meleraikan melainkan bertambah keras perlakuan mereka itu. Lasykar kerajaan pun tiadalah bertangguh lagi lalu memukul mereka dengan pedang bersarung. Habislah lari bercempera kesemuanya. Beberapa antaranya luka-luka dan lebam-lebam. Dalam huru-hara itu jatuh terpijaklah dua orang lalu mati kerana patah riok tengkuk mereka akibat pijakan orang banyak.
Maka lerailah sudah pergaduhan di luar benteng istana. Tapi pihak-pihak yang mati dua orang mereka terpijak itu tiadalah pulang ke ruma masing-masing tetapi mengadakan perkumpulan di pinggir negeri. Sudah sepakatlah mereka hendak menuntut bela atas kematian orang mereka, cuma harinya belum sampai kerana masih dalam usaha mengumpul perajurit. Rancangnya mereka mahu menyerbu ke istana bagi membalas kekejaman lasykar Raja. Semakin hari semakin besarlah pasukan mereka. Cukup sepekan, sudah ada lapan ratus orang lelaki yang mengasah senjata.
Khabarnya Raja di istana tiadalah lagi lena tidur baginda mengenangkan pemberontakan yang bakal menjelma. Diutuskannya dua ratus tentera berkuda, seratus pemanah dan dua ratus orang lasykar baris hadapannya ke pinggir negeri.
Maka pecahlah perang antara kedua belah pihak. Melihatkan besarnya kekuatan lasykar Raja, para pemberontak pun berundur mengalihkan medan perang ke negeri jiran bernama Pura Menggaru. Raja negeri jiran begitu murka melihatkan bencana yang datang ke negaranya hasil ketidakahlian Raja Pura Gaharu menangani masalah dalaman negerinya.
Raja Pura Menggaru menghantar seribu perajurit yang gagah perkasa bagi membersihkan sempadan negerinya. Maka pecahlah pula perang antara Pura Gaharu dengan Pura Menggaru. Masing-masing tiada mahu mengalah. Akhirnya Pura Gaharu menyiapkan bala tentera yang lebih besar iaitu tiga ratus pemanah, lima ratus lasykar berkuda, lima ratus perajurit baris hadapan dan seratus lasykar menunggang burung kasawari. Pura Menggaru pun mengerahkan seluruh bala tenteranya berupa lima ekor raksasa, seribu ribu lasykar baris hadapan dan dua ratus tentera menunggang zirafah.
Nun di utara negeri Pura Gaharu, negeri Pura Cencaru yang rajanya memang sudah lama berperang dingin dengan Pura Gaharu mula mengatur rencana. Baginda mahu menangguk di air yang keruh. Walaupun tenteranya tidak besar, sekadar tiga ratus orang perajurit, tetapi ketika bala tentera Pura Gaharu pergi ke sempadan Pura Menggaru, perajurit Pura Cencaru menyelinap masuk dan cuba merampas istana.
Sekalipun cubaannya gagal tetapi ratusan orang rakyat Pura Gaharu terkorban manakala istana juga renting dan runtuh dimakan api. Raja dan isi istana terpaksa tinggal dibalai sementara.
Khabar dari sempadan Pura Menggaru juga tidak baik. Tentera Pura Gaharu habis diratah oleh tentera Pura Menggaru, bertempiaran lari menyelamatkan diri ke hutan banat dan bukit bukau.
Petang ini... Raja dan isi istana berpindah ke dalam gua di Gunung Sepulut Santan. Tentera Pura Menggaru yang bergabung tenaga dengan tentera Pura Cencaru hanya setanak nasi saja lagi untuk masuk ke dalam kota.
Kelihatan putera Pura Gaharu yang baru berusia tujuh tahun sedang menghirup manisan yang dibawa sebagai bekalan. Raja duduk di sisinya bersama permaisuri. Bendahara bersimpuh tidak berapa jauh di depan baginda. Beberapa orang panglima utama sedang duduk keletihan manakala Tuan Muallim duduk agak jauh sambil meneruskan zikir munajatnya.
Tiba-tiba Raja menerkam laksana harimau akar beranak muda lalu tersembamlah wajah mulia baginda ke tanah. Tangannya terdepang ke hadapan seperti menyambut sesuatu. Semua yang melihat berasa terkejut lagi aneh. Apa pula pekerjaan baginda yang luar biasa itu. Sedangkan tiada angin datang bertiup, tiada buha elapa gugur bertalu, tiada meletus gunung merapi.
Maka melihatlah Bendahara akan apa yang ada di tangan raja itu, tiada lain ialah setitis manisan. Manisan setitis itu datangnya dari piala bertatah manikam di tangan putera. Jatuh setitis secara tidak sengaja. Maklumlah orang muda berkhatan pun belum, gelojoh sedikit. Raja pun bertitah:
“Kerana setitis manisan jatuh ke lantai istana beta dulu, negeri kita jatuh ke tangan musuh, hamba rakyat yang tidak berdosa banyak yang mati, istana musnah dan beta sendiri kini tinggal di dalam gua. Bayangkan jika jatuh setittis lagi...”
Tuan Muallim terhenti zikirnya. Kepalanya didongakkan memandang wajah baginda. Dari kejauhan itu Tuan Muallim melihat raja mengelap lekitan titisan manisan itu ke dastarnya.
T.A.M.A.T
Begitulah kisahnya jika kita mengambil enteng perkara-perkara berbahaya. Kita berbicara tentang Virus 6 Beradik yang dianggap oleh sebahagian orang sebagai:
“Alah, benda kecik je... tak payah dipanjang-panjang.”
“Alaa... mereka pun orang Islam jugak.”
“Jangan kecoh-kecohlah, banyak lagi kerja lain kita nak kena buat.”
“Buat tak tahu je, yang penting dakwah jalan.”
“Bincang perkara ni buat perpecahan umat je.”
Padahal orang yang arif nampak perkara-perkara yang besar dalam setitis manisan. Jangan sudah terhantuk baru hendak terngadah. Jadilah seperti Tuan Muallim, bukan seperti raja dan Bendahara.
Sumber: Abu Zulfiqar ‘Alexanderwathern’
BingkisaNurani:
Banyak pengajaran yg boleh kite ambil. Jangan sesekali menganggap sesuatu perkara sebagai perkara yg remeh walaupun benda tersebut perkara kecik! Think b4 u move t0 the next step :) pesanan untuk ana juga..
Followers
Tuesday, December 23, 2008
Hanya Setitis Manisan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment